Oleh Nor Affizar Ibrahim
WOW! Cantiknya...saya suka! Disambut dengan riak wajah ceria, berulang kali perkataan itu diucapkan Rico Rinaldi Tono apabila melihat hasil kerja jurugambar profesional, Latiff Napoleon-Johari.
Pereka muda itu mengakui, awalnya berasa kerdil tetapi teruja dan seronok dapat bekerjasama dengan kru profesional dalam sesi penggambaran foto diaturkan khusus untuknya itu. Perasaan itu tidak dapat sembunyikan sebaik saja menatap satu persatu gambar siap dirakamkan.
Bagi Rico, pengalaman menjalani penggambaran di kota fesyen itu satu peluang baik dan pengalaman mahal yang akan terus terpahat dalam diari kerjayanya sebagai pereka fesyen.
Penggambaran itu berlangsung di beberapa lokasi, termasuk di Maximini Chinese Restaurant di Sussex Place dan di luar butik milik Prof Datuk Dr Jimmy Choo OBE, di Conaught Street.
Dengan gaya kerja profesional Latiff, diperhebatkan solekan hebat jurusolek, Penny Grimley, pendandan rambut, Mattia Bonora dan model versatil, Lilly Douse dari agensi Profile Models serta kerjasama pereka aksesori, Marina Prokopiva, segala-galanya sempurna buat Rico.
Menjayakan penggambaran foto hujung minggu itu, Rico menampilkan tiga koleksi rekaannya yang dipertaruhkan pada pertandingan FFKL 2011. Lebih menggembirakan pereka muda itu apabila mendapat pujian krew penggambaran yang turut tertarik serta mengakui kehebatan rekaan dihasilkan.
Ada yang menyimpulkan koleksi diketengahkan tampak klasik dan anggun tetapi ada juga berpendapat, menyerlahkan unsur glamor serta feminin. Namun, rata-rata mengagumi penggunaan fabrik tenunan songket pada jaket yang direka Rico kerana tidak pernah melihat dan mengenali jenis fabrik itu.
Bekerja dengan mereka, membolehkan saya melihat perbezaan cara antara masyarakat Malaysia dan London menyukai serta menyanjungi sesuatu rekaan. Masyarakat London bukan saja faham tetapi benar-benar menghargai kerja seni dihasilkan, malah memberitahu elemen disukai dalam sesuatu rekaan itu. Komen dan pandangan seperti itu dapat membantu pereka meningkatkan hasil kerja.
Berbanding dengan orang kita, walaupun menyukai sesuatu rekaan agak sukar untuk mereka menyatakannya secara terang-terangan, malah ada-kala langsung tidak berkata apa-apa, luah Rico.
Tambahnya, peluang mengadakan penggambaran foto di London dan bekerja dengan pakar di peringkat antarabangsa amat menakjubkan dan memberi banyak inspirasi untuk menghasilkan rekaan lebih bagus.
Pengalaman penggambaran foto dilalui lain dari yang lain, pernah saya buat sebelum ini. Sesi penggambaran ini membabitkan kumpulan padu dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Paling saya tertarik, kru terbabit merancang antara satu sama lain dan sentiasa memberikan pandangan mereka bagi memastikan yang dipaparkan benar-benar menjadi.
Penggambaran kali ini juga berbeza kerana ini adalah kali pertama saya bekerja dengan pereka aksesori. Padanan rekaan kreatif aksesori ciptaan Marina, melengkapkan dan menyerlahkan koleksi rekaan saya apabila digayakan model.
Kombinasi seperti topi misalnya, menepati elemen rekaan saya yang mengambil inspirasi seorang puteri India zaman dulu, Jhansi Ki Rani yang juga srikandi perang. Maharani ini tetap menonjolkan ciri kewanitaan dan gaya wanita klasik walaupun perlu bertempur di medan perang, jelas Rico lagi.
Sementara, Latiff, seorang warga Britain turut memuji rekaan Rico. Katanya, koleksi rekaan Rico mempunyai gaya tersendiri dan ada sentuhan rekaan antarabangsa.
Kali pertama melihat koleksi rekaan Rico, saya sudah pun tertarik dari segi penggunaan warna digunakan dan juga gaya potongan diketengahkan. Lalu, saya mula membayangkan hasil kerja yang berkualiti tinggi pasti dapat dihasilkan dan ternyata ia tepat belaka, katanya yang turut gembira dapat bekerja dengan pereka muda dari Malaysia.
read more: Cita Rasa Antarabangsa: Rico Rinaldi Teruja Rekaan Mendapat Pujian London.
Love,
Rico
No comments:
Post a Comment