14 Disember 2009
/ 27 Zulhijjah 1430
Pereka muda batik juara Piala Seri Endon 2009
Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid menyampaikan replika
cek beserta Piala Seri Endon 2009 kepada Rico Rinaldi Tono (empat dari
kiri) sambil diperhatikan Nori Abdullah dan Leela Mohd. Ali (kanan) di
Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Pereka muda tempatan,
Rico Rinaldi Tono, 23, dinobatkan sebagai juara pertandingan Piala Seri
Endon 2009 kategori fesyen mengalahkan 11 peserta lain.
Pertandingan tahunan sejak tahun 2003 itu dianjurkan Yayasan Budi Penyayang Malaysia.
Kemenangannya bagi kategori utama pertandingan itu melayakkan Rico
Rinaldi membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil
penyertaan.
Tutor acara fesyen di Universiti Lim Kok Wing itu berkata,
penyertaannya pada pertandingan berkenaan adalah kerana minat mendalam
terhadap fesyen dan kekagumannya kepada pertandingan tersebut sejak ia
diadakan. Rico Rinaldi berkata, memandangkan penyertaannya pada pertandingan
itu adalah yang pertama, beliau tidak meletakkan keyakinan tinggi untuk
menang tambahan peserta lain dilihatnya lebih berpengalaman dan
berbakat.
''Sebelum ini, saya pernah menyertai pertandingan
Batik Fashion Accessories dan menduduki tempat pertama, jadi ia sedikit sebanyak memberi saya semangat menyertai pertandingan ini.
''Saya amat bersyukur atas kemenangan ini dan ia tidak akan dicapai
tanpa sokongan daripada keluarga, rakan rapat dan kakitangan pengurusan
di universiti,'' katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Leela Mohd. Ali.Mengenai konsep rekaan pakaiannya untuk pertandingan itu, kata Rico
Rinaldi, beliau menggunakan tema Republik Flora yang bermaksud sebuah
cerita mengenai wanita Vietnam.
''Di Vietnam, wanita berarak dengan memegang bunga sebagai simbol
menghentikan peperangan, jadi saya gabungkan corak lukisan wanita,
bunga dan peperangan pada fesyen saya ini yang menggunakan fabrik
satin, sifon dan kapas.
''Idea menggunakan konsep itu tercetus melalui sebuah buku sejarah
yang saya baca dan saya memang banyak mengumpul pengetahuan serta
pengalaman melalui hobi membaca,'' kata anak ketiga daripada empat
adik-beradik itu.Menurutnya, pertandingan berkenaan amat baik bagi memberi peluang
kepada pereka tempatan terutama golongan muda menunjukkan bakat dalam
dunia fesyen batik.
''Ia juga dapat membantu memperluaskan penggunaan batik yang diperkenalkan sebagai warisan negara.
''Batik adalah seni lukisan yang amat menarik, indah dan
menyeronokkan kerana ia bermain dengan warna, jadi terpulang kepada
pereka fesyen untuk mencantikkannya,'' tambahnya...
read more:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_29.htm