Previously interviewed by Berita Harian Newspaper on my winning award at
Festival Fesyen Kuala Lumpur for the award of
Anugerah Pereka Muda Terbaik 2011.
Oleh Nor Affizar Ibrahim
WOW! Cantiknya...saya suka! Disambut dengan riak wajah ceria, berulang
kali perkataan itu diucapkan Rico Rinaldi Tono apabila melihat hasil
kerja jurugambar profesional, Latiff Napoleon-Johari.
Pereka muda itu mengakui, awalnya berasa kerdil tetapi teruja dan
seronok dapat bekerjasama dengan kru profesional dalam sesi
penggambaran foto diaturkan khusus untuknya itu. Perasaan itu tidak
dapat sembunyikan sebaik saja menatap satu persatu gambar siap
dirakamkan.
Dek kekaguman melihat hasil kerja jurugambar fesyen terkemuka United
Kingdom itu, senyuman tidak lekang daripada wajah anak muda itu, sekali
gus membayangkan rasa puas hatinya.
Rico, 24, diberi peluang mengadakan penggambaran foto di London selain
mengikuti kursus jangka pendek di London College of Fashion selepas
kejayaannya memenangi Pereka Muda Terbaik Anugerah Pereka Tenun Berita
Harian (APTBH) sempena FFKL 2011, anjuran Unit Wanita, Julai lalu.
Bagi Rico, pengalaman menjalani penggambaran di kota fesyen itu
satu peluang baik dan pengalaman mahal yang akan terus terpahat dalam
diari kerjayanya sebagai pereka fesyen.
Penggambaran itu berlangsung di beberapa lokasi, termasuk di
Maximini Chinese Restaurant di Sussex Place dan di luar butik milik Prof
Datuk Dr Jimmy Choo OBE, di Conaught Street.
Dengan gaya kerja profesional Latiff, diperhebatkan solekan hebat
jurusolek, Penny Grimley, pendandan rambut, Mattia Bonora dan model
versatil, Lilly Douse dari agensi Profile Models serta kerjasama pereka
aksesori, Marina Prokopiva, segala-galanya sempurna buat Rico.
Menjayakan penggambaran foto hujung minggu itu, Rico menampilkan
tiga koleksi rekaannya yang dipertaruhkan pada pertandingan FFKL 2011.
Lebih menggembirakan pereka muda itu apabila mendapat pujian krew
penggambaran yang turut tertarik serta mengakui kehebatan rekaan
dihasilkan.
Ada yang menyimpulkan koleksi diketengahkan tampak klasik dan
anggun tetapi ada juga berpendapat, menyerlahkan unsur glamor serta
feminin. Namun, rata-rata mengagumi penggunaan fabrik tenunan songket
pada jaket yang direka Rico kerana tidak pernah melihat dan mengenali
jenis fabrik itu.
Bekerja dengan mereka, membolehkan saya melihat perbezaan cara
antara masyarakat Malaysia dan London menyukai serta menyanjungi sesuatu
rekaan. Masyarakat London bukan saja faham tetapi benar-benar
menghargai kerja seni dihasilkan, malah memberitahu elemen disukai dalam
sesuatu rekaan itu. Komen dan pandangan seperti itu dapat membantu
pereka meningkatkan hasil kerja.
Berbanding dengan orang kita, walaupun menyukai sesuatu rekaan
agak sukar untuk mereka menyatakannya secara terang-terangan, malah
ada-kala langsung tidak berkata apa-apa, luah Rico.
Tambahnya, peluang mengadakan penggambaran foto di London dan
bekerja dengan pakar di peringkat antarabangsa amat menakjubkan dan
memberi banyak inspirasi untuk menghasilkan rekaan lebih bagus.
Pengalaman penggambaran foto dilalui lain dari yang lain, pernah
saya buat sebelum ini. Sesi penggambaran ini membabitkan kumpulan padu
dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Paling saya
tertarik, kru terbabit merancang antara satu sama lain dan sentiasa
memberikan pandangan mereka bagi memastikan yang dipaparkan benar-benar
menjadi.
Penggambaran kali ini juga berbeza kerana ini adalah kali pertama
saya bekerja dengan pereka aksesori. Padanan rekaan kreatif aksesori
ciptaan Marina, melengkapkan dan menyerlahkan koleksi rekaan saya
apabila digayakan model.
Kombinasi seperti topi misalnya, menepati elemen rekaan saya yang
mengambil inspirasi seorang puteri India zaman dulu, Jhansi Ki Rani
yang juga srikandi perang. Maharani ini tetap menonjolkan ciri
kewanitaan dan gaya wanita klasik walaupun perlu bertempur di medan
perang, jelas Rico lagi.
Sementara, Latiff, seorang warga Britain turut memuji rekaan
Rico. Katanya, koleksi rekaan Rico mempunyai gaya tersendiri dan ada
sentuhan rekaan antarabangsa.
Kali pertama melihat koleksi rekaan Rico, saya sudah pun tertarik
dari segi penggunaan warna digunakan dan juga gaya potongan
diketengahkan. Lalu, saya mula membayangkan hasil kerja yang berkualiti
tinggi pasti dapat dihasilkan dan ternyata ia tepat belaka, katanya yang
turut gembira dapat bekerja dengan pereka muda dari Malaysia.
read more:
Cita Rasa Antarabangsa: Rico Rinaldi Teruja Rekaan Mendapat Pujian London.
Love,
Rico